Popular Posts

Saturday, July 31, 2010

Hebat dan Terhebat

Secara jujurnya,saya berani mengaku yang saya merupakan seorang yang tidak kueang hebatnya dalam arena beladiri walaupun nama saya mungkin tidaklah tersohor.Sesiapa sahaja boleh mengaku yang mereka adalah hebat,tetapi,mengaku mereka yang terhebat merupakan sesuatu yang boleh membawa bencana kepada diri.Ini boleh menimbulkan rasa irihati pihak lain dan timbul rasa keinginan untuk menjadi yang terhebat dengan mencabar individu yang mengaku dia yang terhebat tadi.Alangkah baiknya kalau semua ahli beladiri mengamalkan ilmu mereka untuk kesihatan diri serta mempraktikkan nilai-nilai murni yang ada serta saling berbincang dengan cara yang baik tanpa berlaku sebarang pertarungan yang boleh mengakibatkan kerugian pada kedua-dua belah pihak.

Motif Ke Kelas Beladiri

Ramai pelajar-pelajar pergi ke kelas sekali atau paling banyak 3 kali seminggu bagi menghadiri kelas latihan.Bagi saya,ianya satu perkara yang amat baik.Namun,dari sudut peribadi saya,kita pergi ke kelas sepatutnya lebih kepada untuk mempelajari kemahiran serta membetulkan kemahiran yang sudah dipelajari dahulu.Selain itu,masa kelas patut digunakan sekiranya ada sebarang soalan atau keraguan mengenai sesuatu teknik.Selepas tamat kelas,kita patut meluangkan masa kita untuk berlatih teknik sendiri di mana-mana tempat yang sesuai bagi menambahkan penghayatan teknik serta menguasai sesuatu teknik dengan lebik baik.Berlatihlah secara berterusan dari semasa ke semasa walaupun secara sambil bersahaja bagi mengisi masa lapang bak peribahasa,"The journey of a thousand miles starts with a single step".

Bengkung Hitam

Umumnya,ahli beladiri mengidamkan tahap ini.Suka saya ingatkan bahawa kita perlulah mempunyai kemahiran yang setaraf dengan bengkung yang kita miliki agar tidak menjatuhkan taraf seni beladiri tersebut.Pakar beladiri pernah berkata,"A Blackbelt is just a belt wore around the waist.Being a blackblect is a state of mind".Oleh itu,diri kita perlulah mencerminkan seni itu sendiri dengan mematuhi segala etika dan menghormati individu yang lebih berpengalaman dan mempunyai taraf yang lebih tinggi dari kita.

Panjang Umur

Sepatutnya,pengamal beladiri mempunyai jangka hayat yang paling panjang kerana mereka mempunyai tubuh badan yang kuat.Tetapi,mereka antara golongan yang mempunyai umur yang tak berapa panjang.Kalau umur panjang pun,badan sakit-sakit.Perkara ini berlaku kerana mereka sering saling menguji ilmu mereka dengan orang lain ataupun dengan objek keras bagi menunjukkan kemampuan mereka.Situasi ini boleh disamakan dengan pemain bola sebagai contoh.Apabila pemain bola melihat bola,sudah tentu semangatnya untuk bermain membakar dalam diri.Dalam keadaan antara pengamal beladiri,apabila mereka berjumpa dengan pengamal beladiri yang lain,timbul keinginan untuk menguji ilmu.Akhir kata,berfikir sebelum bertindak.Jangan lupa diri dan kawal diri sendiri.

Friday, July 30, 2010

Ayat Amalan

Secara peribadi,saya sarankan agar pengamal beladiri menjadikan Surah Taha sebagai amalan.Fadhilat surah Taha ialah agar hati kita menjadi lembut.Ini penting supaya kita akan berbelas kasihan terdapat orang dan tidak mudah melenting sekiranya pendapat kita disanggah atau pendirian kita tidak dapat diterima oleh orang lain.Selain itu,amalan ini akan memudahkan kita apabila orang lain memerlukan bantuan,kita akan dengan senang hati membantu mereka.

Marah dan Maruah

Ada situasi yang kadangkala membuat kita marah dan hilang maruah berlaku.Perkara seperti ini boleh mengundang bencana sekiranya situasi ini menimpa pengamal beladiri.Adalah penting bagi pengamal ilmu bela diri supaya mengawal diri mereka.Ingatlah pepatah,'Ketika Marah,Jangan berlawan,Ketika Berlawan,Jangan Marah'.Ingat,selagi hayat dikandung badan,masih belum terlambat untuk berubah.Maafkanlah kesilapan mereka walau sebesar mana sekali pun,dengan harapan tuhan akan memaafkan kesilapan kita pada hari pengadilan kelak.

Menunggu

Menunggu pihak lawan memulakan serangan atau pun menyerang terlebih dahulu setelah kita memastikan bahawa pertempuran sudah tidak dapat dielakkan lagi?Bagi seorang pakar ilmu beladiri,menunggu pihak lawan memulakan serangan adalah pilihan yang bijak.Mungkin ada yang mengatakan silat tertentu mementingkan serangan dahulu,tetapi kalau diselidik atau dihayati dengan lebih dalam,maka sifat menunggu ada pada seni tersebut.Kerana seni tertentu lebih kepada memintas serangan pihak lawan sebelum sampai,maka kita dapat lihat seolah-olah mereka menyerang terlebih dahulu.Antara kelebihan menunggu adalah supaya peluang supaya pertempuran yang bakal berlaku dapat dielakkan agar tiada pihak yang tercedera dalam situasi ini.Seelok-eloknya,selesaikan masalah dengan cara yang baik dan berunding terlebih dahulu kerana mungkin terdapat salah faham atau ada individu yang menghasut demi kepentingan tertentu.Bak kata pepatah,'akal akar,berpulas tak patah'.

Asas

Ramai pengamal beladiri berasa jemu setelah berlatih asas walaupun hanya beberapa minggu sahaja belajar.Menurut dakwaan mereka,ianya membazir masa dan mereka telah pun mahir dalam melancarkan teknik tersebut.Saya ingin menggalakkan anda berfikir sendiri situasi ini.Semoga ianya memberi manfaat kepada diri sendiri.Ada cerita mengenai dua individu yang ingin menggali telaga mengikut cara mereka sendiri dalam masa tiga bulan bagi menyumbang air yang diperolehi dari telaga tersebut untuk penduduk kampung mereka.Individu pertama menggali 9 telaga dalam masa tiga bulan manakala individu kedua menggali 1 telaga dalam masa tiga bulan dengan bersungguh-sungguh.Kalau dipandang dari perspektif seni beladiri,individu pertama mempunyai variasi teknik dengan kemahiran pada tahap sederhana manakala individu kedua mempunyai 1 kemahiran sahaja tetapi pada tahap tinggi.Sekiranya pengamal beladiri gemar menggunakan pelbagai kemahiran atau serangan berangkai,mungkin latihan pertama lebih sesuai.Namun,bagi mereka yang tidak suka berlawan pada jangka masa yang lama,latihan kedua mungkin lebih sesuai bagi mereka untuk memeperolehi kekuatan teknik bagi menamatkan perlawanana secepat mungkin.Ingin sayan ingatkan bahawa asas yang kuat amat diperlukan sebelum berlatih mana-mana kemahiran.Asas ibarat akar pokok,lebih kukuh akar,lebih kuat dan tinggi pokok tersebut mampu membesar.Apabila pokok tersebut telah matang,maka ianya akan mula berbunga dan dari bunga lahirnya buah.Situasi ini bolehlah disamakan dengan bunga silat dan buah silat.Harus diingatkan bahawa semua proses ini tidak boleh berlaku serentak dan memerlukan jangka masa yang agak lama.Oleh itu,kesabaran yang tinggi amat diperlukan supaya semua proses dapat berjalan dengan lancar.

Pernafasan

Kalau diperhatikan,semua hidupan ciptaan tuhan di dunia ini bernafas.Begitu juga manusia.Pernafasan yang betul perlulah diamalkan.Bayi bernafas dengan betul iaitu dengan menggunakan bahagian perut.Kalau diperhatikan,ketika bayi bernafas,perut mereka mengembang.Tetapi,kebanyakan orang dewasa bernafas,dada mereka kelihatan mengembang.Cara yang lebih baik adalah bernafas seperti bayi.Lihat dan belajar.

Thursday, July 29, 2010

Nilai Murni Dan Ilmu Beladiri

Seseorang yang mempunyai ilmu beladiri perlulah diiringi dengan akhlak yang baik.Perkara ini amat penting supaya ilmu yang dipelajari tidak digunakan pada tempat yang tidak sepatutnya.Hati juga perlulah lembut dan mudah bertolak-ansur.Hal seperti ini amat penting bagi mengelakkan penyesalan oleh ahli beladiri tersebut apabila mereka berfikiran kurang rational dan menggunakan ilmu tersebut tanpa memikirkan kesan kepada diri dan orang lain.Sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya.

Guru Dan Murid

Bagi saya,seseorang murid perlulah sentiasa menghormati guru.Kita tidak ingin berlaku peristiwa seperti apabila kehebatan seseorang anak murid telah sama atau melebihi guru itu,maka mulalah hilang rasa hormat dan yang tinggal hanyalah kenangan.Menurut ahli ilmuwan,seseorang guru itu dikira sebagai berjaya sekiranya dia mampu melatih anak muridnya supaya mempunyai kemahiran yang sama atau mengatasinya.Maka,kita perlu berterima kasih kepada guru tersebut kerana telah memberi tunjuk ajar kepada kita.Kita telah terhutang budi pada mereka,maka kita perlulah menghormati mereka serta menggunakan bahasa yang sesuai ketika berkomunikasi dengan guru kita.Bak kata pepatah,"yang kurik itu kundi,yang merah itu saga,yang cantik itu budi,yang indah itu bahasa".

Ust.Hj.Mansur Manni

Beliau adalah tokoh dalam Islamic Taekwondo Academy di Malaysia.Menurut rakan kenalan saya,sesiapa yang ingin meningkatkan kemahiran sparring untuk pertandingan,bolehlah meminta tunjuk ajar beliau untuk meningkatkan lagi prestasi.Beliau patut dicontohi kerana menggunakan taekwondo sebagai medium untuk mengembangkan jasmani dan rohani penuntut-penuntut ilmu taekwondo.

3 Lagenda

Dalam dunia taekwondo ITF malaysia,terdapat 3 jaguh handalan yang terkenal di seluruh pelusuk Malaysia oleh para peminat ilmu taekwondo kerana mereka jarang pulang dengan tangan kosong dalam pertandingan yang mereka sertai.Mereka ialah Muawiyah bin Salim/Awie
,Abdullah Jusoh/Pak Lah dan Faiz/Faiz Golok.Mereka adalah peminat seni taekwondo dan mempelajari seni ini semenjak zaman kanak-kanak lagi di bawah bimbingan dan tunjuk ajar Master Ariffin Zain.Masing-masing mempunyai teknik yang istimewa yang boleh dianggap sebagai hak cipta atau rekaan mereka sendiri.Kelebihan Faiz Golok ialah Jumping Back Kick Maut,Awie ialah Turning Kick Kepala Ular dan Pak Lah ialah Chopping Kick Mengejar Mangsa.Teknik inilah yang menggerunkan pihak lawan dan telah menjadi trademark mereka.

Master Ariffin Zain

Beliau adalah seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni mempertahankan diri.Saya percaya,kebanyakan guru-guru veteran pelbagai seni mempertahankan diri di Malaysia mengenali beliau.Master Ariffin telah memegang jawatan sebagai Presiden ITF Taekwondo Kelantan selama lebih dari 30 tahun hinggalah sampai sekarang.Beliau sendiri mempunyai pengalaman berlawan dengan 14 orang yang bersenjatakan parang menyerang beliau.Namun,beliau sedikit pun tidak cedera dan berjaya menewaskan mereka.Pada ketika peristiwa ini berlaku,beliau sudah pun berumur 59 tahun.Antara ilmu yang beliau mahir ialah seni tongkat ujungan,seni tekpi,tomoi siam dan taekwondo.Beliau digeruni ramai pada zaman muda-muda dahulu dan diberi gelaran
Abang Pin Misai Merah di negeri Kelantan.Beliau banyak terlibat dalam "street fight" kerana sering dicabar pada zaman muda-muda dahulu.Beliau jarang kalah dalam berlawan iaitu jarang pukulan pihak lawan mampu menyentuh tubuhnya.Cubalah bertanya pada guru-guru veteran anda sama ada guru anda mengenali "Master Ariffin Zain" atau "Abang Pin Misai Merah".

Bunga,Pattern,Taeguk,Kata

Dapat diperhatikan bahawa kebanyakan seni beladiri mempunyai jurus-jurus tertentu yang perlu diamalkan sentiasa.Tetapi,apa yang berlaku pada masa sekarang,kebanyakan pengamal beladiri hanya menghafal gerakan-gerakan tersebut supaya dapat lulus ujian kenaikan tali pinggang ataupun menghafal supaya dapat mengajar anak murid mereka.Perkara ini melarat sehingga buku manual dikeluarkan bagi memudahkan ilmu disampaikan.Selalunya ilmu diperturunkan secara lisan bagi menjaga kualiti dan salasilah pengaliran ilmu tersebut.Namun demikian,pelbagai perkara berlaku yang mengundang perkara ini.Mungkin ada baiknya dilakukan perkara seperti ini supaya sistem pengajaran dan pembelajaran lebih sistematik.Apa yang ingin saya nyatakan ialah segala gerakan itu perlulah dijadikan amalan supaya dapat membiasakan diri dengan sistem beladiri tersebut.General Choi Hong Hi pernah berkata,"Pattern is the seed of taekwondo,Without pattern,taekwondo does not exist" dan "pain is the best teacher,but no one wants to go to his class".

Makna Seni Beladiri

Apakah maknanya?Adakah kita melihat seseorang yang bertubuh sasa,kita boleh mengatakan bahawa dia adalah individu yang mempunyai kemampuan untuk menjatuhkan kita?Persoalan ini adalah sangat subjektif.Ianya terpulang pada individu itu sendiri.Makna asal seni beladiri ialah,adakah dengan ilmu yang ada pada kita,mampukah kita membela diri kita sendiri.Sebenarnya,ilmu beladiri dicipta khas supaya orang yang lebih lemah,mempunyai kelebihan keatas orang yang lebih kuat atau pantas daripadanya.Oleh itu,ilmu seni beladiri perlulah diamalkan dengan bersungguh-sungguh supaya dapat digunakan apabila tiba masanya.

Taekwondo

Kebanyakan pesilat memandang rendah kepada pengamal taekwondo kerana pada pandangan mereka,kelemahan taekwondo terletak kepada tendangan tinggi.

Saya diberitahu oleh sahabat saya yang menghadiri kursus jurulatih dan pengadil peringkat kebangsaan 2010 yang mengatakan bahawa tendangan tinggi sebenarnya adalah sampai paras dagu sahaja.



Contohnya turning kick atau tebar jala dan slap kick atau sepak layang adalah bagi menendang bahagian gegendang telinga,belakang telingan,bahagia belakang kepala dan tengkuk.

Manakala sidekick atau tendang juring disasarkan pada halkum dan bahagian bawah rusuk pihak lawan.Kejohanan taekwondo iaitu sparring hanya memberikan sedikit pengenalan sahaja kepada beladiri taekwondo.Ianya boleh disamakan dengan silat olahraga.


Bolehkah kita mengatakan bahawa silat olahraga melambangkan silat itu sendiri?Sudah tentu tidak.Bahkan terdapat perselisihan pendapat antara guru-guru silat bahawa silat olahraga boleh menggugat martabat kehebatan ilmu serta dunia persilatan itu sendiri.

Tumbuk Lurus

Gerakan ini merupakan asas bagi majoriti seni beladiri yang terdapat di dunia ini.Ianya sering dipandang remeh kerana dikatakan sangat mudah dilakukan.Namun,setelah lama mengamakan ilmu beladiri,kita akan dapati kepentingan tumbuk lurus.Oleh itu,kebanyakan rahsia beladiri terdapat pada asas seni itu sendiri dan gerakan peringkat yang lebih tinggi mempunyai kaitan dan kesinambungan dengan asas tersebut.Seseorang yang menguasai ilmu beladiri akan dapat lihat perkaitannya.Baginya,tersingkaplah segala rahsia sehingga pada pandangannya,rahsia kemahiran yang luarbiasa terdapat pada gerakan yang biasa.Apabila telah tiba masanya,pengamal beladiri akan dapat melihat kaitan tersebut dengan sendirinya.

Kekuda

Mempunyai kekuda yang kukuh adalah syarat asas bagi mana-mana individu untu menguasi sesuatu gerakan dengan baik.Terdapat ahli seni beladiri diri berlatih hanya dengan duduk kekuda 30minit hingga 3 jam sehari.Latihan ini dilakukan paling kurang 3 bulan hingga 3 tahun.Selepas itu,barulah kemahiran dan teknik-teknik beladiri diajar.Dengan ini,barulah seseorang pakar beladiri dapat dilahirkan ke dunia ini.

Membandingkan Ilmu Beladiri Yang Berbeza

Kita sepatutnya tak perlu melakukan perkara seperti itu kerana sesuatu ilmu seni beladiri tak pernah kalah,yang kalah atau menang hanyalah pengamalnya.

Ilmu Untuk Diamalkan,Bukan Untuk Dipertandingkan

Setiap individu mempunyai pandangan masing-masing mengenai pernyataan tersebut.Maka,ini adalah pandangan saya sendiri.Apabila seseorang itu berada diatas tempat yang tinggi,maka selalunya apa yang dia nampak hanyalah apa yang ada dibawah.Apa yang dia nampak adalah kekurangan yang ada pada orang,bukan pada diri sendiri.Walhal,setinggi mana pun kita mendaki,tempat kita tetap berada dibawah pada akhir hayat kita,iaitu dalam perut bumi.Seorang ahli ilmuwan pernah berkata,"Mengapa Manusia Berjalan Dengan Begitu Angkuh Di Muka Bumi Ini Padahal Dia Dijadikan Daripada Setitis Air Mani Yang Hina Yang Kemudiannya Akan Menjadi Bangkai".

Guru Hanya Menurunkan 9/10 Ilmu Kepada Murid

Ramai orang berfikir,mengapa guru hanya menurunkan hanya 9/10 ilmu kepada muridnya.Jawapan-jawapan yang difikirkan oleh kebanyakan orang tidak perlulah saya huraikan disini.Hakikatnya,memang guru tersebut hanya mampu menurunkan 9/10 ilmu sahaja.Ilmu-ilmu tersebut adalah teknik-teknik,petua,nasihat,beserta doa-doa untuk dibuat amalan.Jadi,apakah 1/10 lagi ilmu tersebut? 1/10 lagi ilmu tersebut ialah dari diri kita sendiri,iaitu kesungguhan serta kesabaran untuk mengamalkannya.Apabila 9/10 + 1/10=10/10=1.Ini bermakna ilmu tersebut telah sebati dengan diri kita.

Seni Beladiri

Pada pendapatku.satu-satunya cara untuk meningkatkan ilmu seni mempertahankan diri ialah dengan melakukan latihan secara berterusan dari semasa ke semasa.Seseorang pakar beladiri mungkin mempunyai ilmu yang tinggi,tetapi sekiranya ilmu itu tidak diamalkan maka,ianya tidak dapat digunakan dengan efektif apabila situasi yang memerlukan ilmu tersebut berlaku.Walaubagaimanapun,seseorang pakar beladiri itu masih mempunyai keupayaan untuk menurunkan ilmunya kepada orang lain untuk diamalkan.Umumnya,seseorang pakar beladiri akan memilih teknik-teknik tertentu yang ingin dikuasai olehnya.Hampir mustahil untuk menguasai semua kemahiran yang ada dalam seni mempertahakan diri.Oleh itu,seseorang individu itu perlulah memilih beberapa teknik yang pada pandangan peribadinya adalah efisien.